Bila merajuk jadi budaya
Merajuk telah menjadi budaya manusia
Budaya yang sama-sama manusia tidak mahu
Tapi sama-sama membudayakannya
Budaya merajuk itulah yang menyusahkan manusia
Yang menjadi racun di dalam keluarga dan di dalam pergaulan mereka
Banyak kerja terhalang, tidak kurang kerja terbengkalai dibuatnya
Banyak kerja tidak sempurna, diganggu oleh budaya merajuk
Buat itu tak kena, buat ini tak kena, serba terganggu, merajuk menghantui perasaannya,
Setengah jiwa yang terlalu lemah, jiwanya merana...
Budaya merajuk ini berlaku setiap hari,
Di dalam rumahtangga, di tempat kerja, di dalam parti.
Bahkan lebih sedih, di rumah Allah berlaku juga.
Tidak ada akta dan peraturan yang boleh membendungnya
Justerulah akta dan undang-undang tidak dilagang.
Penyakit merajuk ini dia serang tidak pilih orang.
Semua golongan bisa diserang.
Budaya merajuk ini mudah saja terjadi
Suami lambat balik pun isteri masam muka, hilang manisnya
Layanan kepada suami pun dingin sahaja,
Belum lagi suami berkahwin dua !
Merasakan diri tidak dihormati, pertengkaran pun terjadi, adakalanya sampai mati!
Suami pula terpelengok, pun merajuk sakit hati, sebagai tindakbalas terhadap isteri...
Ibu bapa pun selalu merajuk, tersinggung dek anak-anak yang berbagai kerenah
Anak-anak lambat ziarah atau lambat menerima surat atau memberi pendapat
Tidak senang sahaja, marah-marah sahaja, merungut-rungut dan membebel tidak tentu hala
Apabila anak-anak balik kerut mukanya, bila ditanya diam sahaja,
Tidak kurang juga ada yang menyergah macam singa!
Di pejabat-pejabat ada staf-staf merungut tidak habis-habis
Merasakan tertekan oleh majikan, kerana terlalu banyak kerja
Atau gaji tidak seimbang dengan kerja, majikan tidak dihormati lagi
Di belakang dikata-kata dan dihina, ada yang terus lari dari kerja
Majikan pula susah hati, merajuk pula, marah-marah kepada staf-stafnya
Adakalanya nafsu gagal dikontrol, maki hamun semahu-mahunya
Merajuk juga berlaku di dalam parti
Setelah jatuh dari jawatan parti oleh undi, tenaga dan pengorbanan dibekukan
Kalau dulu aktif, sekarang pasif. Dahulu cergas, sekarang culas.
Tidak terlantik di dalam pencalonan
Atau digugur di dalam jawatan parti atau barisan pentadbiran
Hati sakit, merajuk pula. Muka pun tidak nampak lagi, membawa diri
Entah mana perginya, kalau mati ada kuburnya
Bila mati barulah media massa membuat berita
Setelah lama menghilang diri dari gelanggang masyarakatnya
Di masjid pun berlaku budaya merajuk
Waktu jadi imam, di masjid setiap waktu, ibarat merpati masjid
Tidak lekang-lekang di masjid, macam rumahnya
Bila jawatan diganti orang, masjid tidak nampak lagi
Bahkan waktu sembahyang pun dia tidak muncul-muncul lagi
Hanya kelihatan pada hari Jumaat, itupun duduk di tepi-tepi
Mukanya masam tidak berseri
Habis sahaja sembahyang tidak sempat sembahyang sunat
Cepat-cepat cabut pergi..!
Orang ramai hairan semua memerhati
Pada tok imam pun boleh berlaku, kata setiap hati...
Marilah kita servis hati di bengkel rohani...
Sumber:http://bengkelrohani.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment