Tuesday, May 4, 2010

FCPO-Analisis Teknikal

Source:http://fcpoinvestmentgroup.webs.com/analisisteknikal.htm


Data / Statistik


Sebelum membuat sesuatu analisis tekninal, seseorang trader perlu mendapatkan historical data harian untuk FCPO. Data ini boleh diperolehi daripada website Bursa Malaysia ataupun daripada FBR yang telah dilantik. Berikut adalah contoh historical data FCPO untuk bulan Januari, Februari dan Mac 2008 (Sumber dari website Bursa Malaysia) :




Chart

Selepas memperolehi historical data, langkah seterusnya adalah membuat analisis terhadap data tersebut. Ini bertujuan untuk mendapatkan indicator atau petunjuk untuk memasuki pasaran. Selain itu kita dalam melihat trend market pada ketika itu.



Chart adalah rekod data harga yang mana bila disusun dalam satu carta, akan menceritakan tabiat pasaran (market behaviour). Dengan adanya kompilasi tabiat pasaran di masa lepas, sedikit sebanyak kita dapat membuat anggaran tentang tabiat pasaran di masa hadapan. Jenis – jenis chart adalah seperti candlestick, kagi, point, figures bar dan line.

Disarankan agar tidak menggunakan chart dalam banyak jenis. Kekal dengan satu sudah memadai. Nasihat kepada novice, pilih satu market, dapatkan data untuk 30 hari. Selepas itu lukis dengan tangan. Kemudian setiap hari kumpul data dan lukis lagi dengan tangan. Teruskan untuk sekurang-kurangnya 2 minggu lagi. Insyallah kita akan mendapat market feel.

Data harian ini boleh boleh diperolehi daripada akhbar The Star dalam Starbiz Section. Data harian ini adalah untuk hari sebelumnya bermakna kita perlu mengambil data dari hari selasa hingga sabtu setiap minggu.
Semasa mengumpul data tersebut, ambil sekali data volume dan open interest. Kepentingannya akan dihuraikan kemudian.



Indikator

Indicator pula adalah rumusan tentang kekuatan arah sesuatu pergerakan pasaran (conclusion of market directional strength). Indicator biasanya dibina daripada formula matematik, selalunya berasaskan data bacaan akhir (closing data). Ada juga yang menggunakan data julat tinggi (high data) tetapi tidak digalakkan kerana data julat tinggi biasanya mengandungi data urusniaga yang ekstrem. Jenis indicator pula termasuklah Moving Average (simple, exponential), MACD, RSI, DMI, DMX, Bollinger Bands, Fibonacci (Fan, Retracements) dan lain-lain.

Bagi indicator, cari formula matematik di sebalik indicator pilihan kita itu. Seperti chart, buat kiraan dan lukis dengan tangan. Lukis indicator tu biar bertindih atau sebelah bawah chart. Yang penting kira pakai kalkulator dan lukis pakai tangan. Jangan sekali – kali menggunakan Microsoft Excel. Apabila telah mendapat feel nanti, kita akan sampai pada tahap di mana kita boleh target bila price close pada sekian harga serta apa yang akan terjadi pada indicator dan kesan bacaannya berbanding chart.

Walaupun remeh dan menyusahkan tapi ini satu proses yang amat penting. Kemudian hari, ianya amat berguna dalam menentukan guna-pakai sesuatu support lines dan resistance lines (dihuraikan kemudian). Sekiranya telah mahir dengan satu indicator, cuba pula dengan indicator lain. Dalam amalan profesional nanti, gunakan sekurang-kurang 2 indicator tapi tidak lebih daripada 3.


Volume dan Open Interest


Volume dan Open Interest yang dimaksudkan disini adalah merujuk kepada volume dan open interest harian.

Volume adalah jumlah keseluruhan kontrak (berapa lot) yang didagangkan pada sesuatu hari. Jumlah ini adalah jumlah yang MERANGKUMI KEDUA - DUA BUY DAN SELL pada hari itu.

Apabila market jatuh, SALAH jika kita anggap volume adalah merujuk kepada berapa lot yang dijual. Begitu juga, SALAH untuk menganggap yang volume menunjukkan jumlah lot yang dibeli apabila harga pasaran adalah menaik. Volume boleh membantu sebagai penunjuk aras minat trader terhadap pasaran.

Volume yang TINGGI pada pergerakan harga yang besar KE ATAS, menunjukkan pergerakan harga yang SEJATI. Volume yang TINGGI pada pergerakan harga yang besar KE BAWAH, menunjukkan pergerakan harga yang SEJATI.

Volume yang RENDAH pada pergerakan harga yang besar KE ATAS, menandakan kemungkinan pergerakkan harga adalah DIBUAT - BUAT. Volume yang RENDAH pada pergerakan harga yang besar KE BAWAH, menandakan kemungkinan pergerakkan harga adalah DIBUAT-BUAT.

Open interest menunjukkan jumlah kontrak yang masih dipegang oleh trader pada akhir sesuatu hari trading, merangkumi kontrak yang telah dibeli atau telah dijual.



Apabila open interest dikesan MENINGKAT secara ketara, kita boleh membuat anggapan bahawa aliran utama (pada daily chart dan weekly chart) pada masa itu AKAN BERTERUSAN. Apabila open interest dikesan menurun dengan ketara, kita boleh membuat tanggapan bahawa aliran utama (trend pada daily chart dan weekly chart) pada masa itu AKAN BERAKHIR.

Perubahan ketara dalam open interest BUKANLAH penanda perubahan aliran yang mutlak (NOT AN ABSOLUTE REVERSAL SIGNAL) tetapi ia boleh dianggap sebagai PETANDA AWAL untuk kita mengambil ingat; lebih peka pada perubahan dalam chart, indicator dan trend. Ia juga sebagai mengingatkan kita supaya bersedia untuk merangka trading plan alternatif atau yang baru.


PIVOT POINT SEBAGAI SUPPORT DAN RESISTANCE


Support adalah di mana tahap harga akan disokong oleh kebanyakan pembeli untuk membuat belian. Pada tahap support, kebarangkalian untuk harga bergerak ke bawah adalah kecil, sekaligus membeli untuk mendapat untung adalah pertimbangan yang bijak.

Resistance adalah di mana tahap harga akan ditekan oleh kebanyakan penjual dengan cara membuat jualan. Pada tahap resistance, kebarangkalian untuk harga bergerak ke atas adalah kecil, sekaligus menjual untuk mendapat untung adalah pertimbangan yang juga bijak.

Sebagai peniaga FCPO, lazimnya akan membuat target terhadap tahap support dan resistance selain menentukan trend. Mengenal pasti support dan resistance dapat membantu peniaga memilih tempat masuk pasaran (point of entry) dan tempat keluar pasaran (point of exit).

Terdapat dua kaedah popular bagi mengenal pasti support dan resistance. Pertama, dengan kaedah kajian sikap pergerakan harga (price movement behaviour pattern).

Pivot Point adalah adalah lebih objektif dan hanya memerlukan sedikit data dan pengiraan. Bagi novice, mungkin lebih selesa dengan kaedah ini.

Pivot Point hanya memerlukan data harian iaitu high, low dan close. Justeru Pivot Point perlu dikira setiap hari. Untuk Pivot Point yang akan digunakan hari ini, data high, low dan close semalam diperlukan. Berikut adalah formulanya :

H = high bagi data semalam
L = low bagi data semalam
C = harga ditutup semalam

P = Pivot Point
P = (H + L + C ) / 3

R1 = Tahap resistance pertama
R1 = (P x 2) - L

S1 = Tahap support pertama
S1 = (P x 2) - H

R2 = Tahap resistance kedua
R2 = P + (R1 - S1)

S2 = Tahap support kedua
S2 = P - (R1- S1)

R3 = Tahap resistance ketiga
R3 = R2 + H - L

S3 = Tahap support ketiga
S3 = S2 - H + L

Sebagai kaedah mudah, anggapkan :



1. Harga dibuka pada aras lebih tinggi dari P, maka hari berkenaan kemungkinan besarnya adalah menaik (bullish).
2. Harga dibuka pada aras lebih rendah dari P, maka hari berkenaan kemungkinan besarnya adalah menurun (bearish).
3. S3, S2, S1, P, R1, R2 dan R3 adalah dalam susunan menaik. Anggapkan paras-paras harga berkenaan adalah tangga dimana harga menaik atau menurun; sepertimana paras support dan resistance yang biasa. (Perhatian bahawa P itu sendiri adalah juga support / resistance)


MENCARI TREND UTAMA


Trend (arah aliran harga pasaran) yang utama hanya dapat dilihat pada carta mingguan dan harian. Beberapa perkara yang perlu ditimbangkan semasa mencari trend utama ini adalah :

1. Guna carta tanpa indicator. Terutamanya novice, indicator boleh menjadi gangguan kepada pandangan dan penilaian.

2. Pandang carta dengan mata kanak-kanak berumur sepuluh tahun.

3. Perhatikan warna candlestick (terutamanya 20 - 25 candlestick terakhir). Dari kiri ke kanan carta , yang mana lebih banyak - up candle atau down candle.

4. Perhatikan panjang candlestick (terutamanya 20 - 25 candlestick terakhir). Majoriti candle panjang adalah up candle atau down candle.

5. Harga naik-turun bukan secara lurus tetapi secara kitaran atas dan bawah. Perhatikan kitaran turun-naik harga (terutamanya 20 - 25 candlestick terakhir) ; semakin lama kitaran manakah yang semakin pendek/kecil dan kitaran manakah yang semakin panjang/besar. (memerhatikan bukaan/tempoh kitaran)

6. Merujuk kepada #5, perhatikan samaada kitaran harga menjadi semakin tinggi atau semakin rendah. (memerhatikan ketinggian/paras harga kitaran)

7. Setiap kitaran naik mempunyai puncak kitaran. Perhatikan samada puncak kitaran adalah semakin tinggi atau semakin rendah (terutamanya 20 - 25 candlestick terakhir).

8. Setiap kitaran turun mempunyai dasar kitaran. Perhatikan samada dasar kitaran adalah semakin tinggi atau semakin rendah (terutamanya 20 - 25 candlestick terakhir).


SMA : SIMPLE MOVING AVERAGE

SMA adalah singkatan kepada Simple Moving Average. SMA adalah merujuk kepada nilai purata sesuatu harga tertentu. Contohnya SMA 10 merujuk kepada nilai purata 10 data terakhir. Manakala SMA 25 merujuk kepada nilai purata 25 data terakhir.



Biasanya data yang digunakan adalah data penutupan (close/settlement). Jika kita merujuk kepada carta harian maka data penutupan adalah data penutupan bagi 10 hari terakhir atau data penutupan bagi 25 hari terakhir. Jika kita merujuk kepada carta 15minit, maka data penutupan berkenaan merujuk kepada 10 atau 25 data terakhir bagi setiap data 15 minit.



Setiap kali data harian atau data 15 minit ini dikumpulkan, maka kita boleh membuat pengiraan SMA yang baru. Pada akhirnya kita akan memperolehi satu siri data SMA yang berturut. Data SMA yang berturut ini pula, apabila diplotkan di atas kertas graf atau carta akan memberikan satu garis. Garis inilah yang kita namakan sebagai garis SMA.



Bagi mengelakkan kekeliruan, penggunaan SMA adalah tidak terhad kepada SMA 10 atau SMA 25 sahaja. Malah SMA juga tidak terhad kepada mana-mana timeframe yang khusus. SMA boleh digunakan pada apa jua nilai indikator dan pada mana -mana jua timeframe carta.



Kebiasaannya garis SMA ini diplotkan secara bertindih dengan carta candlestick. Secara teorinya, SMA adalah garis yang menyatakan purata kepada pergerakan harga. Pada SMA 10, garis SMA adalah garis purata kepada 10 pergerakan harga (10 candlestick - merujuk kepada nilai close sahaja). Begitu juga bagi SMA 25, garis SMA merujuk kepada garis purata kepada 25 pergerakan harga (25 candlestick - merujuk kepada nilai close sahaja).



Kita juga boleh membuat kesimpulan bahawa lebih besar nilai SMA yang digunakan, maka ia merujuk kepada purata jangkamasa lebih panjang. Sebaliknya lebih kecil nilai SMA yang digunakan, maka ia merujuk kepada purata jangkamasa yang lebih pendek.



Justeru, jika anda merupakan seorang yang memilih untuk berurusniaga dalam trend lebih panjang, anda akan memilih SMA yang lebih besar nilainya. Begitu juga sebaliknya jika anda lebih gemar berurusniaga dalam tempoh trend yang lebih pendek, anda tentukan akan mengguna pakai SMA yang lebih kecil nilainya.



Berikut adalah dua carta candlestick yang mengggunakan SMA yang berbeza :



SMA 25



SMA 60



SMA boleh membantu kita mengenali trend. Rujuk kepada carta - carta di atas. Pada masa SMA berada di bawah candlestick, pergerakan harga adalah di dalam trend ke atas. Apabila SMA berada di atas candlestick, pergerakan harga adalah di dalam trend ke bawah.



Ada juga masanya SMA dan candlestick saling memotong secara berulang-ulang dengan kerap. Ini dinamakan pergerakan harga dalam trend mendatar. SMA juga dapat membantu kita mengenalpasti dan memilih pemasaan untuk membeli atau menjual. Sekali lagi rujuk kepada carta-carta di atas.



Apabila SMA memotong candlestick dari atas ke bawah, ini menandakan peralihan trend dari down trend kepada up trend. Ini adalah masa untuk kita membeli. Begitu juga sebaliknya apabila SMA memotong candlestick dari bawah ke atas, ini menandakan peralihan trend dari up trend kepada down trend. Ini adalah masa untuk kita menjual.



Tentunya, membandingkan antara kedua-dua carta di atas, penggunaan SMA 25 dan SMA 60 memberikan pembacaan yang berbeza dalam aspek trend mahupun pemasaan untuk membeli / menjual. Di sebabkan itu, amatlah penting bagi seseorang peniaga FCPO mengenal pasti diri sebagai seorang peniaga dalam trend jangka pendek ataupun peniaga dalam trend yang lebih panjang tempohnya.

Mungkin kita mempunyai jangkamasa sendiri yang lebih sesuai semasa berurusniaga. Adalah digalakkan agar seseorang itu mencuba dengan sendiri, apakah timeframe carta dan parameter SMA yang paling sesuai dengan kaedah tradingnya.



Walaupun SMA adalah indikator yang amat popular dan digunakan secara meluas, ia juga mempunyai kelemahan. Prinsip membeli dan menjual pada masa SMA memotong candlestick tidak boleh digunakan semasa trend di dalam keadaan mendatar. Ini kerana, seperti yang disebutkan di atas, pada masa trend mendatar, SMA dan candlestick akan saling memotong secara berulang dan kerap. Justeru kita perlulah memastikan, apabila berlaku pemotongan antara SMA dan candlestick, adakah ianya akan membentuk trend ke atas, ke bawah ataupun trend mendatar.



Kelemahan SMA dalam kes trend mendatar ini dapat diatasi dengan beberapa variasi SMA dan juga penggunaan indikator ADX. Perkara-perkara ini akan di bincangkan dalam tajuk-tajuk yang berasingan.

SMA vs EMA

SMA telah diperjelaskan dalam topik sebelum ini, bermaksud Simple Moving Average. SMA adalah purata mudah bagi sebilangan data.



Apa pula EMA? EMA adalah singkatan kepada Exponential Moving Average. EMA masih lagi merujuk kepada purata sesuatu bilangan data. Walau bagaimanapun, berbeza dengan SMA yang mengambil kira purata secara mudah, EMA menggunakan pendarab tertentu dalam pengiraannya.



Pendarab ini akan menyebabkan data yang terkini menjadi lebih diutamakan berbanding data yang terdahulu. Dalam istilah matematiknya proses ini dinyatakan sebagai meletakkan pemberat (weighted) kepada data yang lebih terkini.



Sebagai contoh, kita lihat perbandingan antara SMA 25 dan EMA 25.



Dalam SMA 25, kesemua 25 data adalah dikira sebagai samarata kepentingannya. Maka puratanya di kirakan sebagai purata mudah (di bahagi dengan 25).



Bagi EMA 25, data ke dua puluh lima diletakkan pemberat sebagai lebih besar pengaruhnya berbanding data pertama (data pertama adalah data terawal dalam pengiraan manakala data 25 adalah data terkini dalam pengiraan). Secara prinsip, begitulah perbandingannya.



Secara asasnya, SMA dan EMA digunakan dengan cara yang sama. Kedua-duanya dilukis bertindan dengan candlestick. Kedua-duanya juga boleh digunakan sebagai penanda trend dan penanda masa belian atau jualan (sila rujuk tajuk sebelum ini). Malah EMA mempunyai kelemahan yang sama seperti SMA iaitu tidak sesuai digunakan sebagai penanda masa belian/jualan semasa trend dalam keadaan mendatar.



Jadi apakah bezanya menggunakan SMA dan EMA. Apabila kita meneliti formula pengiraan kedua-duanya, kita dapat memperolehi jawapannya.



Sebagai penanda purata mudah, SMA lebih mengutamakan arah pergerakan harga dalam sesuatu tempoh masa semata-mata. Manakala EMA yang mengenakan pemberat kepada data yang lebih terkini, mengutamakan perubahan dalam pergerakan harga. Dalam pengiraan matematik, SMA dan EMA tidak memberi hasil purata yang ketara perbezaannya.



KESIMPULANNYA, EMA ADALAH LEBIH SENSITIF KEPADA PERGERAKAN HARGA BERBANDING SMA.





Berikut adalah carta yang membandingkan SMA dan EMA yang mempunyai parameter yang sama iaitu 25. SMA 25 digambarkan dengan garis berwarna kuning manakala EMA 25 digambarkan dengan garis berwarna coklat.


Pada perubahan trend, SMA selalunya memotong candlesticks pada pemasaan yang lebih lambat. Walau bagaimanapun, garisnya adalah lebih licin (smooth) iaitu hanya berkeluk pada perubahan-perubahan harga yang penting sahaja.



Pada perubahan trend, EMA kebiasaannya memotong candlesticks pada pemasaan yang lebih cepat. Memandangkan sifatnya yang lebih sensitif, garisnya mempunyai lebih banyak keluk walaupun pada perubahan harga yang tidak begitu ketara.



Kebiasaannya, peniaga tidak memberi perhatian kepada perbezaan SMA dan EMA ini. Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa SMA dan EMA tidak memberi perbezaan yang ketara maka tidak ada beza mana satu yang digunakan. Malah ramai juga yang hanya terikut-ikut sahaja apabila menggunakan SMA atau EMA.



Apa yang perlu ditekankan di sini ialah betapa pentingnya seseorang itu memilih untuk menjadi seorang peniaga samada secara jangka pendek atau jangka panjang. Keputusan ini akan menentukan toleransi seseorang itu kepada risiko, timeframe carta yang akan digunakannya malah strategi urusniaganya sekalipun.



Sekiranya kita memilih untuk berurusniaga sebagai peniaga jangka pendek, EMA adalah lebih sesuai. Begitu juga sebaliknya jika kita ingin berurusniaga dalam jangkamasa lebih panjang, SMA adalah lebih sesuai. Ini adalah prinsip yang digunapakai oleh peniaga profesional secara meluas.



Sebagaimana sebelumnya, digalakkan agar membuat kajian, manakah satu antara SMA dan EMA yang sesuai untuk kita. Sesebuah model kereta yang baru perlu melalui sesi pandu uji sebelum dihasilkan secara besar-besaran untuk pasaran. Malahan, setiap kereta yang dihasilkan secara besar-besaran ini pun perlu dipandu uji sebelum dihantar ke wakil penjual.

PENGGUNAAN DUA SMA

Penggunaan dua SMA serentak, umumnya adalah agak meluas. Namun sebalik penggunaan SMA dengan kaedah ini, ramai yang menjadi semakin keliru.

Keliru disebabkan oleh dua perkara. Pertamanya, sukar untuk menentukan pasangan perimeter yang sesuai untuk digunakan. Keduanya, pembacaan SMA didapati semakin kompleks dan lebih sukar untuk diintepretasi.

Meneruskan pembacaan anda di sini akan lebih mengelirukan jika tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam kajian SMA. Justeru bagi mereka yang berkenaan, sila rujuk dan fahami dahulu tajuk terdahulu berkenaan sebelum meneruskan kajian dalam penggunaan dua SMA secara serentak ini.

Umumnya ada dua pendekatan semasa menggunakan dua SMA serentak. Pendekatan pertama adalah pendekatan yang dinamakan sebagai pendekatan silang. Pendekatan kedua pula dinamakan sebagai pendekatan trend.

PENDEKATAN SILANG



Sebagai contoh kami akan menggunakan carta 15 minit dengan menggunakan dua SMA serentak iaitu SMA 25 dan SMA 35. Sila beri perhatian bahawa dalam pendekatan ini, nilai parameter kedua-dua SMA adalah tidak sama tetapi tidak jauh beza nilainya. Sebaik-baiknya perbezaan nilai kedua-dua SMA itu tidak lebih daripada 15.



Sifat SMA sebagai penentu trend digunakan pada kedua - dua SMA. Apabila kedua-dua SMA berada di atas candlestick maka trend adalah berada di dalam keadaan menurun. Apabila kedua-dua SMA berada di bawah candlestick maka trend adalah berada dalam keadaan menaik.

Apabila candlestick berada berada di antara kedua - dua SMA, ia bermaksud pergerakan harga akan membuat keputusan penting samada mahu menukar trend atau tidak. Dalam keadaan ini, peniaga biasanya akan membuat pemerhatian secara lebih dekat samada untuk membeli atau menjual.

Merujuk kepada kelemahan SMA di dalam trend mendatar, perkara yang sama juga perlu diberi perhatian apabila menggunakan dua SMA serentak. Manakala sifat SMA sebagai penanda beli / jual pula menjadi kurang penting. Bagi menggantikan kekurangan ini, persilangan kedua-dua SMA akan menjadi petunjuk baru untuk membeli/menjual.

Apabila SMA pendek (SMA 25) memotong SMA panjang (SMA 35) dari BAWAH ke ATAS maka ia adalah petanda untuk membeli. Petanda ini adalah petanda yang ideal apabila berlaku di bawah candlestick.

Apabila SMA pendek (SMA 25) memotong SMA panjang (SMA 35) dari ATAS ke BAWAH maka ia adalah petanda untuk menjual. Petanda ini adalah petanda yang ideal apabila berlaku di atas candlestick.

Bagi mencari parameter yang sesuai untuk pasangan SMA masing-masing, cari dahulu SMA panjang yang sesuai. Apabila parameter SMA panjang telah ditentukan, dapatkan parameter SMA pendek dengan membuat ujian. Fokus ujian adalah untuk mendapatkan SMA pendek yang memotong SMA panjang dalam keadaan yang paling sedikit risikonya.

Yang utamanya, SMA pendek dan SMA panjang mempunyai perbezaan parameter tidak melebihi nilai 15. Kita mungkin perlu menguji setiap satu nilai perbezaan berbanding parameter SMA panjang (sehingga 15 kali) bagi mendapatkan pasangan SMA yang terbaik.

Di dalam penggunaan dua SMA secara serentak, pendekatan silang ini adalah pendekatan yang digunakan secara lebih meluas berbanding pendekatan trend. Ini kerana pendekatan silang adalah kurang kompleks dan lebih jelas.

Walau bagaimanapun, kerap kali pendekatan silang ini gagal dimanfaatkan sepenuhnya kerana ramai yang tidak mempunyai pemahaman jelas tentang kelemahannya. Perlu diingat kelemahan utama SMA adalah apabila di dalam trend mendatar.

Sebagai contoh, trend ke atas boleh berubah samada kepada trend menurun atau trend mendatar. Dalam keadaan normal, kebarangkalian perubahan kepada trend menurun adalah 50% manakala kebarangkalian perubahan kepada trend mendatar adalah juga 50%.

Jika kita membuat kajian secara ke belakang (back-study), kita akan mendapati, dalam setiap 10 kali persilangan antara SMA, antara satu hingga empat kali daripadanya adalah berubah kepada trend mendatar. Begitu juga dalam 10 kali pemotongan SMA dengan candlestick, antara satu hingga empat kali daripadanya adalah berubah kepada trend mendatar.

Oleh itu penentuan trend adalah tidak semudah mengesan bila SMA memotong ke atas atau ke bawah candlestick. Penentuan petanda beli atau jual juga tidak semudah SMA pendek memotong SMA panjang.

Justeru, kaedah ini sebenarnya lebih sesuai kepada peniaga yang membuat urusniaga dalam tempoh pendek (short term). Malah pendekatan ini sesuai hanya jika peniaga mahu berurusniaga dalam kekerapan yang tinggi.

PENDEKATAN TREND


Dalam perbincangan ini, kami menggunakan carta 15 minit dengan menggunakan dua SMA serentak iaitu SMA 90 dan SMA 25. Sila beri perhatian bahawa dalam pendekatan ini, nilai parameter kedua-dua SMA adalah tidak sama dan jauh beza nilainya.

SMA yang lebih panjang (SMA 90) adalah bersifat sebagai petunjuk trend. Manakala SMA yang lebih pendek (SMA 25) adalah bersifat pengukur trend (trend meter). Jarak nilai SMA antara kedua-dua garis ini tidak khusus tetapi sifat setiap SMA sebagai petunjuk trend dan pengukur trend perlu diberi perhatian.



SMA secara sendirian digunakan sebagai penentu trend dan juga sebagai petunjuk kepada untuk membeli dan menjual. Secara tidak langsung, melalui pendekatan ini, kita telah mengasingkan sifat SMA itu sendiri.

Secara umumnya, pendekatan ini menggunakan langkah-langkah dalam turutan berikut:

1. Mengenal pasti trend.
2. Hanya memasuki urusniaga mengikut trend sahaja
3. Memasuki urusniaga apabila kedua-dua SMA berada di atas harga pasaran(bagi jual) atau
4. Memasuki urusniaga apabila kedua-dua SMA berada di bawah (bagi beli) paras harga.
5. Keluar daripada urusniaga apabila kedudukan kedua-dua SMA tidak berada dalam keadaan seperti langkah 3.



Sila rujuk carta, DARI KIRI KE KANAN.

Dalam kedudukan SMA 90 di atas paras harga, trend menurun telah bermula. Apabila SMA 25 memotong SMA 90 dari atas ke bawah, ini adalah titik untuk memasuki urusniaga dengan menjual.

Seterusnya perhatikan bagaimana SMA 25 memotong harga ke bawah. Pada masa ini SMA 90 masih lagi di atas harga. Ini bermaksud bahawa trend ke bawah masih lagi utuh tetapi mula melemah. Pada masa ini kita harus membeli untuk keluar daripada urusniaga tadi. Kini urusniaga telah dilengkapkan dan sekarang berada diluar pasaran.

Seterusnya perhatikan pula, apabila harga mendekati SMA 90, pergerakan harga ke atas terhenti dan ia mula bergerak ke bawah semula. Apabila SMA 25 memotong harga ke bawah sekali lagi, ini adalah tempat memasuki pasaran semula dan menjual lagi. Pada masa ini, interpretasi yang sewajarnya adalah trend ke bawah masih utuh dan akan memulakan gelombang kedua bagi pergerakan harga ke bawah.

Kemudiannya, apabila harga menaik semula, SMA 25 memotong harga ke bawah. Ini menandakan trend ke bawah telah menjadi lemah semula. Pada masa ini kita sepatutnya membeli untuk melengkapkan urusniaga buat kali kedua. Sekali lagi kita telah berada di luar pasaran. Akhir sekali, apabila SMA 90 memotong harga ke bawah, trend kebawah boleh ditakrifkan sebagai telah bertukar kepada trend menaik. Walau bagaimanapun, tidak disyorkan untuk membeli.

Hanya apabila SMA 25 telah memotong SMA 90 keatas, barulah sesuai masanya untuk memasuki pasaran dengan membeli. Jelas di sini, SMA 90 hanya digunakan sebagai penentu trend. SMA 25 pula berperanan untuk mengukur kekuatan trend tadi.

Bagi mencari parameter yang sesuai untuk dua SMA anda, secara visualnya elakkan dari mencuba secara berpasangan. Cuba cari parameter SMA yang sesuai bagi trend dan pengukur trend secara berasingan. Apabila telah berpuashati dengan dua parameter yang berbeza, barulah gabungkan kedua-dua SMA dan buat penilaian baru dari segi kesesuaian.

Pendekatan ini benar-benar bergantung kepada trend secara sepenuhnya. Oleh itu ia lebih sesuai untuk mereka yang menggemari urusniaga dalam tempoh yang lebih panjang. Pendekatan ini juga tidak membenarkan kekerapan yang tinggi dalam bilangan urusniaga tetapi lebih mengutamakan pulangan yang stabil dengan risiko yang lebih kecil berbanding dengan pendekatan silang.


Berikut adalah carta 15 minit untuk pendekatan silang yang menggunakan SMA 25 dan SMA 35.



Persilangan SMA 25 dan 35 berlaku pada 16hb Julai 2008. Sejak daripada tarikh itu, pasaran kekal dengan kedudukan atau susunan harga di bawah sekali diikuti SMA 25 diatasnya manakala SMA 35 adalah di atas sekali. Ini bermakna trend ke bawah masih kekal.

Dengan mengekalkan prinsip memasuki pasaran mengikut arah trend, point jual di cari untuk memasuki urus niaga. Manakala titik membeli adalah digunakan untuk keluar dari urusniaga. BUKAN SEBALIKNYA.

Pada akhir 18hb Julai 2008, harga pasaran di tutup dengan bersentuhan di SMA 25. Peniaga agresif akan mengekalkan pegangannya kerana trend belum berubah.

Manakala peniaga konservatif akan keluar dahulu dari pasaran. Maklumlah, jarak harga pada masa itu untuk memotong SMA 35 adalah tidak jauh. Dalam sekitar 10 tick sahaja.

Pada hari niaga berikutnya, 21hb Julai 2008, harga dibuka jauh ke bawah. Peniaga sepatutnya turut menjual pada masa ini. Terbukti, harga tidak bergerak ke atas dan memotong SMA 25 dan SMA 35 sebaliknya meneruskan trend ke bawah. Jika penjualan di buat pada masa tersebut, kedudukan urusniaga berkenaan masih di dalam keadaan untung.

Berikut adalah carta 15 minit untuk pendekatan trend yang menggunakan SMA 25 dan SMA 90.


Persilangan SMA 25 dan 90 juga berlaku pada 16hb Julai 2008. Sejak daripada tarikh itu, pasaran kekal dengan kedudukan atau susunan harga di bawah sekali diikuti SMA 25 diatasnya manakala SMA 90 adalah di atas sekali. Ini bermakna trend ke bawah masih kekal.

Justeru, pegangan urusniaga jual pada hari Rabu lepas sepatutnya dikekalkan sehingga ke hari ini. Bagi peniaga agresif, urusniaga jualan akan di tambah bila pasaran dibuka pada 18hb dan 21hb Julai 2008. Manakala peniaga konservatif akan kekal menyimpan pegangan jualan mereka kerana pasaran masih kekal dalam keadaan trend ke bawah.

Justeru, ia adalah lebih sesuai bagi mereka yang berurusniaga secara sambilan kerana ia tidak memerlukan pengawasan pasaran yang ketat. Di sini kami ingin mengingatkan agar tidak menggunakan pendekatan ini dalam trend mendatar. Selain itu, adalah baik jika dapat membuat back-testing sebelum menggunakan pendekatan ini dalam urusniaga yang sebenar.


Penutup


Paper trading adalah satu usaha yang baik kerana ia tidak membebankan kita dengan risiko wang ringgit. Masa yang dihabiskan untuk paper trading akan menjadi berbaloi apabila dapat mempelajari bagaimana untuk meminimakan risiko dan memaksimakan untung.



Segala analisis teknikal yang anda lihat dan baca di atas juga adalah secara teori sahaja. Anda perlu perlu mempraktikkannya agar lebih mudah untuk difahami. Kami harap ianya akan dapat membantu dalam memberi info yang berguna untuk anda menjalankan urusniaga FCPO. Ada banyak lagi analisis teknikal yang boleh dihuraikan tetapi kami hanya menghuraikan secara asas sahaja khas kepada newbie atau orang baru. Jika ingin mendalami analisis teknikal dengan lebih lanjut, sila hadiri kursus – kursus yang ditawarkan oleh pihak yang berkaitan. Selamat berjaya. Wassalam.

0 comments:

About This Blog

Was established since 20th Rejab 1430.
Just to educate myself.
`Sharing is Caring-The more you give,the more you get``

`Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari.`-Riwayat al-Baihaqi


`We are often afraid to do things until we are sure we will do them well.Therefore we don`t do anything...`


Labels

Blog Archive

Comments

Gold

[Most Recent Quotes from www.kitco.com]

Silver

KLCI and Oil

CPO

FEEDJIT Live Traffic Feed

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP