Apa Yang Anda Mesti Tahu Pasal Riba Sebagai Musuh Ekonomi Kita Semua?-by Pakdi
Source:Pakdi.net
1. Riba bukan sahaja melibatkan pinjaman dan hutang, tetapi ada juga riba berkaitan jual beli. Dalam al-Quran, pengharaman riba dibuat secara umum dan hadis menerangkan jenis riba yang lain iaitu seperti hadis berikut dan hadis-hadis yang lainnya:
Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam, (ditukarkan) sesama jenis, pada kadar yang sama, secara tunai (spot), sekiranya berlainan jenis, maka jual belilah sesuka hatimu selama mana ia adalah pertukaran tunai.” [Muslim, Abu Daud, al-Nasai, dan Ahmad].
2. Riba berkaitan pinjaman dan hutang adalah riba yang sangat jelas dan begitu difahami oleh manusia, sejak zaman Jahiliyyah, zaman Aristotle sampailah zaman Facebook.
3. Manakala riba jual beli ini adalah sesuatu yang baru. Hanya selepas Islam datang, barulah ada larangan ini. Maksud hadis-hadis tersebut boleh disimpulkan dalam rajah berikut:
4. Maksudnya, nak beli emas dengan emas, perlu sama kuantiti dan dibuat secara tunai. Begitu juga beli perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, garam dengan garam dan juga kurma dengan kurma.
5. Manakala, beli emas dengan perak pula boleh berbeza kuantiti tetapi mesti dibuat secara tunai. Begitu juga beli gandum dengan barli, barli dengan garam dan seterusnya, kuantiti boleh berbeza tetapi mesti secara tunai.
6. Saya cenderung untuk melihat hadis ini sebagai prinsip asas sistem matawang Islam. Matawang perlu bersandarkan dengan aset yang berharga seperti emas dan perak, atau pun apa-apa komoditi yang bersifat makanan ruji dan boleh disimpan lama. Ini juga selari dengan ayat Quran dalam surah Yusuf yang menceritakan mimpi Raja Mesir mengenai 7 tahun zaman mewah dan 7 tahun zaman susah apabila Nabi Yusuf a.s. mencadangkan agar gandum yang dituai disimpan dengan tangkai-tangkainya sekali.
7. Secara logik, berapa ramai sebenarnya yang akan tukar emas dengan emas atau garam dengan garam ? Barter trading sekalipun, manusia cenderung untuk menukarkan kapas dengan daging ayam misalnya dan bukannya kapas dengan kapas. Sedangkan hadis ini adalah hadis riba di mana dalam ayat Quran, surah Baqarah ayat 279, Allah swt dan RasulNya telah mengisytiharkan perang terhadap riba. Justeru, riba bukan perkara kecil dan skop hadis ini tidak patut dilihat dari sudut yang kecil juga.
8. Industri kewangan Islam yang sedia ada memang boleh melepaskan manusia dari masalah riba pinjaman dan hutang, tetapi kritikan yang selalu dilontarkan terhadap industri kewangan Islam juga adalah, industri ini masih gagal menyelesaikan masalah kemiskinan. Sedangkan pengamal kewangan Islam sering mendakwa sistem kewangan Islam adalah sistem yang adil kepada semua baik miskin dan kaya.
9. Orang miskin, tiada pendapatan, bergaji kecil, bekerja di syarikat kecil masih menghadapi masalah yang sama walaupun telah wujud industri perbankan dan kewangan Islam. Maka, melihatkan hal ini wujud pihak yang menghentam institusi kewangan Islam dengan pelbagai tohmahan. Sedangkan, masalah kemiskinan ini tidak boleh diselesaikan oleh institusi kewangan Islam sahaja, ada beberapa institusi lain yang perlu diperkasakan seperti wakaf, baitulmal, zakat dan juga sistem matawang Islam.
10. Ada juga yang mendakwa segalanya mesti Qard atau pun Qard al-Hassan semata-mata, sedangkan masalah sebenar jauh dari hanya sekadar bagi pinjam. Apa kaitan bank-bank Islam tidak bagi Qard al-Hassan dengan harga kuih karipap di kedai kopi Pak Mail, yang dulu cuma 20 sen sebiji tetapi sekarang seringgit dapat 3 biji aje ? Adakah dengan bagi Qard al-Hassan kepada Meon seorang peon boleh menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup ?
11. Ada orang berpendapat matawang itu mesti emas dan perak sahaja. Bagi saya ia tidak seharusnya begitu kerana hadis yang telah dikongsikan di atas juga menyebut peranan komoditi yang lain. Seterusnya, bukan semua negara mempunyai lombong emas dan lombong perak. Jika kita terhadkan hanya emas dan perak, apa akan terjadi terhadap negara yang langsung tidak ada hasil emas dan perak ?
12. Ada negara yang kaya dengan hasil tanaman tertentu seperti beras. Dan yang paling utama, semua negara ada makanan ruji tersendiri yang membolehkan ekonomi tempatan berkembang dengan begitu baik sekali dan pada masa yang sama hasil utama setiap negara ini boleh didagangkan antara negara dengan prinsip yang sama.
13. Dalam post akan datang kita dapat lihat apa yang telah berlaku di sekeliling kita apabila manusia mula pandai-pandai mengubah aturan Allah swt.
14. Sekiranya kita bawa sekeping nota RM 10 ke bank dengan sistem matawang hari ini, cuba minta tebus emas atau perak atau sebarang komoditi dengan wang tersebut ? Tidak pasal-pasal teller di kaunter bank akan menuduh kita gila bila kita cuba tebus sesuatu dengan nota RM 10 tersebut.
15. Sepatutnya setiap matawang mempunyai sandaran emas, perak mahupun komoditi tertentu yang ada disebutkan dalam hadis mengenai 6 barangan ribawi tersebut. Tetapi hari ini ?
16. Dalam sejarah manusia, sudah macam-macam komoditi dijadikan matawang. Ada yang gunakan batu, cengkerang siput, besi seperti logam dan di penjara, rokok merupakan duit.
17. Zaman moden ini, prosesnya boleh jadi begini. Katakan Pak Mail seorang pesawah padi. 1 tan beras yang dihantar ke bank, maka Pak Mail boleh dapat RM 1,000. Dan sesiapa yang nak dapatkan beras, tukar sahaja duit kertas yang dikeluarkan oleh bank itu tadi. Jadi, kalau ada duit kertas bernilai RM 1 bilion dikeluarkan oleh bank di pasaran, nilai beras pun mesti RM 1 bilion dalam simpanan bank itu tadi. Mesti sama nilainya, tidak terlebih mahupun terkurang.
18. Maka, orang ramai akan mula mengusahakan sawah padi. Maklumlah, hantar beras sahaja dapat duit. Rasa-rasa nak beras, tebus sahaja dari bank. Ini lebih baik dari tanah dijadikan padang golf, kelab malam dan juga kelab dangdut. Dengan ini, aktiviti ekonomi yang lebih baik akan berlaku dalam masyarakat berbanding membuat spekulasi dalam pasaran beras (baca: commodity trader). Buat apa berhijrah ke bandar, kerja kilang untuk dapat gaji hanya beberapa ratus sebulan kalau di kampung mengusahakan sawah padi adalah lebih menguntungkan ?
19. Itu kalau masyarakat kita bersetuju menjadikan beras sebagai underlying asset Ringgit Malaysia. Sudah tentu tuan puan boleh berdebat, kenapa beras dan tidak emas dan perak ? Hal tersebut memang boleh dibincangkan, dan sememangnya untuk membentuk matawang yang lebih stabil maka penggunaan emas dan perak adalah lebih utama. Apa yang penting, mesti 1:1 seperti rajah dibawah:
20. Hari ini, bila duit tidak lagi disandarkan dengan apa-apa aset, keadaan kewangan kita menjadi susah secara tiba-tiba. Apabila kita tidak tahu bagaimana duit pada hari ini dicipta, kita tidak tahu bagaimana untuk bertindak dengan lebih baik. Apabila kita sudah faham bagaimana duit hari ini dicipta, maka kita akan faham kenapa kita mesti berniaga, mencipta atau membeli aset sendiri secepat mungkin.
21. Sekarang secara teorinya, apabila wang sudah banyak dalam pasaran, pengguna senang mendapat pinjaman / pembiayaan, maka itu tandanya kadar faedah (baca: riba) yang dikawal BNM perlu dinaikkan. Alasannya mudah, supply wang mesti dikurangkan kerana bila wang sudah terlalu banyak dan mudah didapati, maka akhirnya ia menjadi worth-less dan tidak mustahil menjadi worthless. Bayangkan kalau semua orang mampu pakai Mercedes. Adakah Mercedes akan menjadi kenderaan mewah lagi ? Atas sebab yang sama lah, kenapa subsidi selalu tidak disyukuri dan kita jarang-jarang bersyukur dengan nikmat mata, telinga, lidah dan sebagainya yang Allah swt telah beri secara percuma.
22. Secara teorinya memang nampak cantik. Wang banyak dalam pasaran, interest rate dinaikkan. Wang sikit, interest rate diturunkan. Tetapi tahukah anda, apabila kita membenarkan ia berlaku maka manipulasi boleh berlaku dengan mudah dan supply dan demand ini bukan lagi berlaku secara semulajadi sebaliknya dari tangan-tangan manusia tertentu ?
23. Sedangkan hadis riba yang menyuruh setiap matawang disandarkan dengan aset juga untuk membolehkan supply dan demand ini berlaku secara semulajadi. Allah swt lebih mengetahui bila sepatutnya Dia menyuburkan tanaman gandum misalnya untuk membolehkan semua manusia makan mi, roti secukupnya. Jadi, Dia juga yang lebih tahu untuk membolehkan manusia menjumpai lombong emas yang baru misalnya.
24. Hari ini, majoriti matawang dunia diniagakan secara pairing dengan US Dollar. RM / USD. GBP / USD. JPY / USD dan seterusnya. USD ini masih merupakan matawang utama dagangan dunia. Federal Reserve adalah pihak yang mengawal kadar faedah (baca: riba) USD yang mana setiap polisi kewangan mereka akan mempengaruhi ekonomi negara lain yang banyak bergantung dengan nilai USD ini.
25. Adakah peperangan perlu berlaku untuk memusnahkan sesebuah negara ? Hantar sahaja USD 100 bilion dengan kadar faedahnya, 5% setahun.
26. Sekiranya tuan puan membaca dua siri yang lepas, fenomena inilah yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. akan tiba suatu zaman, tidak ada seorangpun kecuali dia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau dia tidak memakan secara langsung, ia akan terkena debunya.
27. Justeru, walaupun kita tidak menjadi pelanggan bank riba dan 100% menjadi pelanggan bank-bank Islam, kita tetap terkena debu-debu riba. Ini adalah hakikat zaman yang kita hidup hari ini.
28. Tuan puan juga tertentu tertanya, kenapa Pakdi menulis benda yang kompleks ini? Tulis aje benda yang mudah, yang boleh terus buat duit. Kan lagi best.
29. Sesungguhnya dengan memahami tentang kewujudan riba berkaitan jual beli (riba buyu’) selain riba berkaitan hutang (riba duyun), maka kita akan memahami riba itu bukan dalam hutang sahaja, tetapi juga betapa kompleksnya framework riba yang wujud dalam dunia hari ini. Peperangan terhadap riba bukanlah kerja bank-bank Islam sahaja, tetapi adalah tanggungjawab semua orang.
30. Sekiranya tuan puan dalam posisi untuk mengubahnya, macam bekerja sebagai pegawai kerajaan yang menggubal dasar-dasar ekonomi dan undang-undang negara, bekerja di BNM, bekerja di bank-bank Islam, peguam, auditor, orang cukai yang banyak terlibat dalam urusan perbankan dan yang sewaktu dengannya maka sedarlah bahawa kuasa yang tuan puan ada pada hari ini akan disoal Allah di akhirat kelak.
31. Sekiranya tuan puan dalam posisi lain, kena ketuk, tegur orang dalam kategori di atas untuk buat kerja sehabis baik. Seterusnya menamatkan semua urusan dengan perbankan konvensional.
32. Dan tuan puan juga boleh belajar sedikit demi sedikit how to play the games, antaranya seperti berikut:
33. Satu, duit berbentuk tunai adalah penting untuk urusan sehari-hari, tetapi pastikan anda juga menukarkan sebahagian duit kertas yang ada sekarang menjadi aset yang sebenar. Tuan puan perlu tahu akaun-akaun yang anda ada pada hari ini disimpan dan dilaburkan oleh institusi kewangan dalam pasaran apa. Pasaran money market ? Pasaran saham ? Pasaran sukuk (bon Islam)? Pasaran tukaran matawang? Pasaran emas? Dan seterusnya.
34. Dua, disamping menukarkan duit kertas dengan aset sebenar, tuan puan juga perlu mula membina aset sendiri yang tidak memerlukan sejumlah modal yang besar pun untuk bermula. Ingat, akal adalah pemberian Allah yang paling berharga.
35. Tiga, bikin bisnes bukan satu alternatif, tetapi adalah “wajib” dari sudut hukum perancangan kewangan. Apa guna marah-marah bos yang tak naikkan gaji, sedangkan buat bisnes part-time adalah lebih baik. Kita semua tahu hari ini makan roti canai nak kenyang mesti makan dua keping, walaupun harga sekeping masih sama.
36. Empat, jangan menjadi sebahagian dari masalah dengan melibatkan diri dengan riba jual beli khususnya dalam pasaran matawang (forex) yang tidak menepati kehendak Shariah. Malah, akaun pelaburan emas yang tidak wujud emasnya juga adalah sebahagian dari masalah ini. Ingat, riba tidak wujud hanya dalam masalah hutang dan pinjaman sahaja.
37. Lima, kena rajin membaca untuk mengetahui macam mana sistem kewangan hari ini dibina. Understand the rules. Ambil tahu how to take advantages dari sistem yang sedia ada. Benjamin Graham, cikgu kepada Warren Buffett, ada mencadangkan kaedah matawang berdasarkan komoditi sebegini pada tahun 1930an, walaupun tidak diterima oleh jawatankuasa kongres, beliau akhirnya dikenali sebagai dean of the Wall Street dan seterusnya melahirkan ramai pelabur berjaya seperti Buffett.
38. Fenomena wang tidak bersandarkan emas, perak atau sebarang komoditi ini adalah satu fenomena baru bermula pada tahun 1974. Sebelum itu, ada sandaran emas. Malah, sejak zaman dahulu lagi emas dan perak adalah matawang yang utama.
39. Misalnya, rumah yang dibeli pada 1970an, cuma RM 20,000 dan rumah yang sama 30 tahun kemudiannya bernilai RM 400,00. Apa agaknya punca sebenar “kenaikan harga” ini berlaku.
40. Hati-hati dengan ilusi “harga naik” sebegini. Nilai bersih aset (net worth) anda barangkali tinggi tetapi pada hakikatnya anda tidak punya apa-apa selain bergantung dengan gaji setiap bulan.
0 comments:
Post a Comment