Mahu jual kereta pun kena tambah duit lagi?
Sumber:www.avoza.com/jual-kereta-tambah-duit/
Pernahkah anda terfikir mahu menjual kereta anda, dan membeli kereta baru seperti Toyota Avanza dan sebagainya?
Sudah tentu pernah. Namun, bukan mudah mahu menjual kereta anda yang ada sekarang ini kerana dalam beberapa kes anda perlu menambah atau membayar lebihan hutang dari pihak bank.
Dengan kata lain, mahu jual kereta pun kena tambah duit.
Itulah hakikatnya hidup di zaman sekarang. Serba-serbi hutang dan semuanya mahu duit. Mengapa perkara ini boleh terjadi sedangkan kita telahpun membayar ansuran kereta selama berbulan-bulan malahan ada yang telah bertahun-tahun membayarnya? Mengapa masih kena tambah wang ketika mahu menjual kereta tersebut?
Baiklah. Mari kita renung sejenak senario harga kenderaan di Malaysia. Ketika kita membeli kereta baru tidak kiralah sama ada Proton, Perodua , Toyota, Naza atau yang lain-lain, apabila keluar sahaja kereta tersebut dari bilik pameran secara automatiknya harganya telah jatuh lebih kurang RM 5,000.00 dari harga asal kita membeli kereta tersebut kerana kini ia telahpun termasuk dalam kategori kereta terpakai. Mudah bukan harga kereta di Malaysia jatuh?
Itu baru jatuh harga yang pertama. Yang keduanya ialah bergantung kepada keadaan atau ‘condition’ kenderaan tersebut. Harganya akan dinilai lebih rendah sekiranya kenderaan itu pernah mengalami kemalangan atau mungkin keadaan badan atau enjin atau mungkin juga catnya yang tidak lagi elok. Lebih malang lagi sekiranya kereta tersebut termasuk dalam kategori kereta ’sejuk’ iaitu kereta yang kurang sambutan atau tak laku di pasaran. Semakin jatuh menjunamlah harganya dan semakin banyaklah yang perlu ditambah sekiranya kita berniat untuk menjualnya.
Yang seterusnya, apa yang dipraktikkan oleh bank-bank dan institusi kewangan di sini yang terlibat dalam memberi kemudahan pinjaman sewa-beli atau bahasa yang kita selalu sebut - HP @ Hire Purchase - ialah menyemak semula harga semua kenderaan dari semasa ke semasa. Apabila bank-bank tersebut melakukan semak harga maka secara logiknya harga yang terkini akan menjadi jauh lebih rendah berbanding harga sebelumnya. Ini bermakna kalau dalam setahun bank melakukan semak harga sampai 2x (6 bulan sekali) maka apa yang terjadi kepada kenderaan yang kita guna sekarang? Harganya akan jatuh 2x dalam masa setahun!! Kalau kenderaan anda dah digunakan selama bertahun-tahun maka anda kiralah sendiri sudah berapa kali kereta anda sudah jatuh harga. Inilah sebabnya mengapa sesetengah dari kita terpaksa menambah @ menokok wang ketika hendak menjual kenderaan kita yang sedia ada itu.
Cuba anda bayangkan dalam satu senario seorang pembeli salah satu kenderaan tempatan kita yang sebelum ini dijual pada harga lebih RM 30k pada tahun lalu. Tidak sampai setahun kini harga baru kenderaan tersebut hanya RM 26,999.00 atas jalan. Agak-agak anda berapakah yang kawan kita ni kena tambah jika dia ingin menjual semula kenderaan tempatan yang dibelinya tidak sampai setahun itu?
Orang dulu-dulu berkata, “biarlah alah membeli asalkan menang memakai”. Namun melihat senario sekarang ini di mana menangnya sesetengah dari kita ini? Ketika membeli atau ketika memakai? Ataupun ketika menjual semula?
Apa pun tepuk dada tanya selera.Kita membeli biarlah di atas kemampuan diri sendiri. Tetapi jika barang-barang pejabat kita kira susutnilai setahun sekali, mengapa perlu bank-bank di Malaysia ini melakukan susutnilai kenderaan sampai 2x malahan ada yang sampai 3x setahun?
Fikir-fikirkanlah.
1 comments:
Itulah sistem kewangan yang menguntungkan satu pihak sahaja tanpa melihat kepada beban rakyat yang semakin lama dihimpit beban hutang. Mengapa ini berlaku adakah perkara ini terlepas pandang oleh pihak berwajib
Post a Comment