Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Pelaburan Emas?
Source:http://www.pakdi.net/
Salah satu petanda sesuatu bentuk pelaburan itu sudah sampai ke tahap bubbles, mania atau tanda awas perlu dipacakkan dalam biji mata kita semua adalah apabila pemandu teksi, tukang gunting rambut hatta yang kaki lepak kedai kopi pun bercakap pasal pelaburan tersebut.
Kalau ikut kaedah pengajian hadis, kehebatan pelaburan itu sudah sampai tahap mutawatir. Ramai sangat (ejen) bercakap benda yang sama dan mustahil untuk mereka berpakat untuk menipu. Cuma bezanya adalah, yang bercakap itu bukan para sahabat Nabi saw yang boleh kita terus percaya malah mereka cuma orang biasa yang tidak ada ilmu pelaburan pun, yang tidak tahu pun membezakan cashflow dan capital gain. Menyebabkan kita yang mendengar cerita bertaraf mutawatir itu pun rasa betul, pelaburan itu maha hebat dan kita mesti sama-sama melabur kalau tidak mahu ketinggalan bas.
Tahun 2008, rakyat Malaysia demam pelaburan saham khususnya menerusi saham amanah. Sedangkan pada 2008, pelabur besar dan pelabur professional yang telah melabur dari 2005 misalnya, telah pun mula menjual pegangan saham mereka.
Hari ini, tahun 2010, kelihatan orang demam dengan pelaburan emas. Beli pada RM 120/g jual pada RM 125/g. RM 5 untung satu gram. Ditabur pula dengan beberapa hadis-hadis Nabi yang tarafnya mengikut ulama hadis, adalah meragukan. Maka, bertebaranlah cerita yang menyatakan ini adalah bisnes Islami, ekonomi Islam!
Maka, ingin saya sebut dengan tegas itu adalah ajaran sesat ekonomi Islam.
Ekonomi Islam bukan sekadar jual beli emas untung buat untung. Peranan emas dalam ekonomi Islam adalah sebagai matawang, bukan untuk dijadikan komoditi dan seterusnya dijadikan aktivti spekulasi.
Betul, duit kertas hari ini tidak bersandarkan emas. Jadi, pejuang ekonomi Islami yang utama adalah mendesak emas dijadikan matawang dan bukan menjadi sama-sama terlibat menjadi spekulator emas dan mendakwa akviti sebegitu adalah bisnes dan jihad ekonomi yang paling Islami.
Sudah lah menjadi spekulator emas, jual beli emas fizikal pun ada yang terlibat dengan riba apabila menjual beli emas dengan berhutang. Perbuatan ini adalah sangat bertentangan dengan hadis riba.
Sekiranya tuan puan menyimpan harta dalam bentuk emas, maka itu adalah antara kaedah menyimpan yang baik. Tetapi sekiranya tuan puan sudah menganggap emas sebagai pelaburan, maka ketahuilah rule of investment is applied. Tidak ada beza melabur dalam emas dengan melabur dalam saham, hartanah, pasaran hadapan sawit dan sebagainya. Orang yang telah membeli komoditi-komoditi tersebut beberapa tahun lepas adalah orang yang sedang menjualnya hari ini.
Dan setiap benda yang naik pasti akan jatuh!
0 comments:
Post a Comment