Betul Tak?
Sumber:http://soulpower-kuasajiwa.blogspot.com/2010/02/betul-tak.html
FEBRUARY 2, 2010
Saya pernah menulis tentang penggunaan bahasa yang betul dalam kehidupan dan beberapa hari lepas saya disapa oleh seorang teman, katanya “boleh ke cerita balik tentang bahasa sebab cerita yang dulu pendek sangat”. Saya bukanlah pakar bahasa tetapi saya yakin bahawa bahasa itu bukan sekadar menunjukan bangsa bahkan lebih halus lagi dan tidak salah jika dikatakan bahasa itu melambangkan jiwa. Orang yang jiwanya kacau akan mudah berbahasa negatif begitu juga orang yang punya masalah akan mengeluarkan kata-kata sesuai dengan keresahannya. Jika kita lihat filem-filem zaman hitam putih, mereka berdialog di dalam filem dengan dialog yang digunapakai di dalam kehidupan itu sendiri
Saya pernah membaca buku tentang filem zaman itu yang mana ramai para pelakonnya tidak tahu membaca tetapi jika dilihat di dalam filem mereka ini lebih asli atau lebih semulajadi lakonannya. Sebagai orang di luar industri perfileman, saya mungkin melihatnya dari satu segi yang berlainan, saya melihat kecenderungan cerita dahulu dalam menggunakan bahasa pasar yang sememangnya mereka gunakan seharian. Hasilnya mereka merasakan lakonan itu sebenarnya juga adalah satu watak dalam kehidupan mereka. Jika kita lihat juga masyarakat di kala itu begitu positif dalam menjalani kehidupan mereka, mengapa agaknya mereka bersikap sebegitu sedangkan mereka tidak duduk dalam era kemodenan seperti hari ini.
Hari ini, kita semakin moden namun malangnya kita semakin sempit fikirannya bahkan lebih negatif dari sehari ke sehari. Jujurnya saya melihatnya mungkin dari satu sudut lain, bukan hal-hal fizikal kerana kecantikan dan kekuatan fizikal tidak melambangkan perwatakan sebenar seseorang itu. Pada pengamatan saya, ianya seperti yang pernah saya katakan dahulu, ianya adalah erana penggunaan bahasa yang salah. Cuba nanti kita tonton cerita zaman hitam putih, cerita tahun 1950-an, dan cuba kita amati penggunan bahasanya. Pada pemerhatian saya, mereka begitu kurang menggunakan frasa negatif diakhir bicara. Ini sungguh berbeza dengan keadaan kita pada hari ini yang mana hampir kebanyakan dari kita akan menggunakan frasa negatif diakhir bicara.
Tanpa sedar kita sebenarnya memberitahu pada diri kita untuk menjadi negatif dan kita juga secara tidak langsung telah menanam nilai-nilai negatif kepada pendengar. Kita sejak dilahirkan ke dunia ini dikenali sebagai manusia, saya yakin tidak seorang pun dari kita yang lahir sebagai binatang seperti monyet dan akhirnya pada umur tertentu bertukar menjadi manusia. Sebagai manusia, kita tetap mempunyai nilai yang sama seperti mana kita dilahirkan dan system kita juga sebenarnya sama. Sewaktu kita mula belajar bertutur, kita hanya mula mengenali dan memeahami sukukata terakhir yang diucapkan, jika emak maka kita akan mudah faham jika disebut mak., ini menunjukkan bahawa minda bawah sedar kita begitu mudah menerima serta menanam sukukata terakhir dalam bicara kata.
Trend bahasa pada hari ini amat berbeza apatah lagi jika dilihat bahasa yang digunapakai oleh remaja dalam konteks sistem pesanan ringkas (sms). Kebanyakan sukukata akhir dalam pengucapan adalah negatif dan inilah yang menyumbang banyaknya sikap negatif dalam kehidupan kita pada hari ini, semakin moden semakin negatif, semakin moden semakin hilang ciri bahasa standard. Jika kata-kata itu kita lontarkan kepada anak-anak kita maka sebenarnya kita sedang mencipta anak-anak yang akan melihat negatif yang banyak dalam kehidupannya dan pastinya akan mendapat banyak masalah yang tidak dijangkakan.
Justeru pada pandangan saya, lebih elok jika kita dapat mencuba dahulu menukar penggunaan bahasa kita selama dua minggu dan insya Allah setelah itu kita akan menjadi lali atau menjadi tabiat untuk bertutur dalam bahasa positif. Kita perlu ingat bahawa minda bawah sedar akan menerima apa sahaja arahan kata-kata untuk diperlakukan dan disimpan. Paling penting untk kita faham adalah minda bawah sedar tidak akan mengambil kira samada ianya kata kenyataan atau bentuk arahan, yang hanya diketahuinya adalah menerima ransangan dari kata-kata terakhir. Maka jika mengakhiri bicara dengan sukukata negatif, ia sebenarnya memberi satu bentuk afirmasi kepada minda bawah sedar untuk mengubah hidup kita kepada persepsi negatif.
Hasilnya berlakulah hukum penarikan yang negatif dan pastinya banayak masalah dirundung, banyak keletihan dilalui yang begitu melelahkan dan begitu mengecewakan hingga kita merasa hidup ini tiada ertinya. Bagi mereka yang ingin bertukar menjadi positif , mari kita tukar suku kata akhir menjadi positif. Mulai hari ini kita gantikan perkataan tak, tidak, yang sering kita ucapkan diakhir bicara dengan lah, kan. Misalnya jika dahulu kita menyebut betul tak kini ianya sudah menjadi betul kan... Jika dahulu kita berkata cantik tak?, kini kita memberi nafas positif dengan menyatakan cantik kan.
Jika perlakuan penukaran gaya bahasa ini dapat kita lakukan selama dua minggu berturut-turut insya Allah kita akan mula melihat suasana positif dalam hidup. maka benarkan untuk berubah menjadi positif itu tidaklah mahal harganya melainkan tahu apa yang perlu dilakukan.. Bahasa tahu sikapnya, dengar katanya terbuka rahsianya.
0 comments:
Post a Comment