Bahasa Khutbah
Sumber:http://soulpower-kuasajiwa.blogspot.com/2010/03/bahasa-khutbah.html
MARCH 22, 2010
"Jika kamu berkata-kata kepada kawan kamu ketika imam berkhutbah pada hari Jumaat walaupun dengan perkataan 'Diam', maka laghalah (sia-sia) dia." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Begitulah ingatan yang sering kedengaran sebelum khatib memulakan khutbah. Malangnya biar berbuih ingatan diberikan tetap juga kita mendengar suara-suara ‘khatib’ di belakang berbicara pelbagai perkara hingga adakalanya mengganggu khutbah sebenar.
Saya terbaca di satu forum yang mana ada menyebutkan bahawa Nabi pernah bersabda :Barang siapa yang bercakap-cakap ketika Imam sedang membaca khutbah (Jumaat), maka dia bagaikan seekor keldai yang membawa kitab-kitab dan sesiapa yang berkata diam (kepada rakannya yang bercakap) tiadalah Jumaat baginya, Jumaatnya tidak sempurna. (Imam Ahmad).
Saya melihat dengan jelas akan duduk perkara khutbah di sini yang sebenarnya perlu kita ikuti dan fahami untuk mengubah sikap kita seminggu mendatang.
Khutbah bagi saya adalah satu ceramah motivasi yang baik, juga merupakan ruang untuk saling ingat mengingat hal-hal kebaikan serta waktu terbaik untuk mendapatkan ilmu baru. Saya sendiri adakalanya akan membawa buku nota ketika khutbah dan mencatat isi kandungan yang dapat saya amalkan dan hayati. Kadangkala hal itu menjadi satu kepelikan teman-teman di sebelah apabila melihat nota khutbah dicatat. Saya berpendapat bahawa di waktu khutbah jumaat, banyak perkara yang sebenarnya dapat kita pelajari dan kalaupun perkara tersebut sudah kita ketahui namun tidak menjadi kesalahan jika catatan itu bakal memberi peringatan untuk kita seminggu mendatang.
Jika kita perhatikan suasana jemaah sewaktu khutbah, pelbagai ragam yang dapat kita lihat. Tetapi lebih ramai yang kita lihat menundukkan kepala mereka, mungkin mereka khusyuk mendengar atau khusyuk nak tidur. Saya sering berkata yang waktu khutbah adalah waktu awal tidur kerana waktu itu kita lihat ramai sekali yang menguap dan mengantuk bahkan ada yang tidak sedar ketika khutbah dibacakan. Salah siapakah hingga berlakukan situasi sedemikian, adakah salah jemaah yang datang berjumaat atau salah khatib yang membaca tanpa minat.
Saya cuba membicarakan hal ini pada kali ini semoga kita beroleh satu dimensi baru dalam khutbah jumaat baik untuk para jemaah mahupun untuk para khatib yang saya hormati. Saya berpandangan waktu khutbah jumaat adalah waktu yang paling sesuai untuk mengumpulkan para muslimin untuk mendengar keilmuan baru, ingatan yang baru, serta motivasi diri yang baru yang insyaAllah dapat diisikan dalam minda pendengar dan seterusnya mungkin dapat pula disampaikan pada seisi rumah agar ilmu tersebut berpanjangan.
Dalam erti kata yang lebih mudah, saya berpandangan bahawa khutbah merupakan majlis ilmu yang baik namun persoalannya mengapa ketika itu ramai yang mengantuk bahkan tertidur. Jika soalan ini ditanya, maka jawapan yang saya rasa hampir didengar adalah waktu itu syaitan datang mengganggu. Jika kita tahu waktu itu syaitan mahu datang mengganggu mengapa tidak kita persiapkan diri untuk menepis segala gangguan. Kita begitu mudah memberikan jawapan tetapi begitu sukar merungkaikan persoalan.
Kita mudah diganggu kerana kita lemah, lemah dalaman hingga membawa kelesuan fikiran serta keletihan badan. Jika saya ditanya akan soalan sedemikian, maka saya menjawabnya dalam dua pandangan. Pertama, jemaah dan kedua ialah khatib yang bertugas.
1) Jemaah
Pernahkah kita duduk di sebelah seorang yang menguap dan tidak lama kemudian kita pun terikut menguap?.. dalam keadaan ini anda dikatakan sedang melakukan kalibrasi dengan jiran anda itu. Walaupun pada keadaan tersebut anda sebenarnya tidak mengatuk namun akibat kalibrasi yang terjadi tanpa anda sedari telah membuatkan anda menjadi mengantuk sama. Jika anda berada dalam keadaan bosan, tidak keterlaluan jika saya katakan yang jiran anda juga akan turut merasa tempiasnya. Hal ini saya gelarkan kalibrasi gelombang otak.
Biar apapun yang anda panggil tetapi yang jelasnya keadaan anda serta gelombang otak anda ternyata dapat mempengaruhi jiran anda. Jika seorang dari ahli jemaah masuk ke lapangan solat dalam keadaan malas, bosan dan mengantuk, maka secara hukum alamnya mereka yang berada di sekelilingnya akan turut merasa begitu jika kita tidak dapat mempertahankan kedudukan gelombang otak yang betul. Apa yang pasti tidak ramai dari masyarakat kita memahami keadaan ini lantas mereka tanpa sedar menyumbang kepada keadaan jemaah sekeliling dalam lapangan solat terutamanya ketika khutbah mula dibacakan.
Saya mempunyai pendapat yang agak berlainan dan jika ada yang ingin membetulkan pandangan saya, saya begitu berbesar hati demi kebaikan ummah, saya berpendapat bahawa jika kita memasuki ruangan solat dalam keadaan terpaksa, mengatuk, malas atau dengan membawa sekali tekanan duniawi maka kita turut merosakkan keheningan yang ada dan secara tidak langsung menyumbang kepada kelalaian orang lain. Buruk benar jika kita terlibat dalam melalaikan mereka ketika khutbah dibaca dan lebih ngeri ketika solat dilaksanakan.
Bagi kami yang memahami akan hal kaitan gelombang otak dengan ibadah serta peradaban manusia, hal-hal menyumbang kepada kerosakan insan perlu kami jauhi walaupun ianya kelihatan remeh bagi sesetengah pihak. Maka dengan itu, kami akan berusaha untuk masuk ke ruangan solat dalam keadaan yang dapat menyumbang kekhusyukan para jemaah yang ada dalam ibadah yang bakal dilaksanakan. Justeru, marilah kita mengubah sikap kita ketika masuk ke masjid terutamanya ketika khutbah sedang dibaca kerana tanpa sedar keadaan kita akan membuat jiran kita juga merasa apa yang kita rasa.
Jika kita menghayati khutbah serta mengingati Allah swt dengan cintaNya maka kita akan membuat satu jariah yang tak pernah kita sangka kerana kita turut membawa jemaah sekeliling untuk merasa khusyuk. Mungkin tak ramai yang mengetahui bahawa gelombang otak kita yang rendah ketika solat begitu kuat dan boleh disebarkan hingga 27 lapis dan dek kerana itu solat jemaah itu 27 kali ganda pahalanya kerana kita membawa 27 orang untuk merasa kelazatan solat.
2) khatib
Sudut yang kedua yang perlu kita lihat adalah penyampaian khatib dalam menyempurnakan khutbah. Mungkin ada diantara kita pernah mengalami kebosanan ketika mendengar khutbah kerana khatib tidak menyampaikannya dengan ruh tetapi membacanya dengan akal. Lebih buruk jika bacaannya merangkak-rangkak hingga ada yang berdoa di dalam hati agar khutbah cepat sampai ke penghujungnya. Bagi saya khatib perlu terlebih dahulu menghayati setiap apa yang ingin disampaikan lalu sampaikanlah dengan ruh bukan dengan minda. Kata-kata yang dilontar dengan akal hanya akan sampai ke cuping telinga tetapi kata-kata yang disampaikan dengan jiwa akan terus menusuk jiwa.
Apabila jiwa dapat disentuh berubahlah si pendengar dan sayulah tubuh akibat getaran kata-kata ingatan. Khatib pada pandangan saya harus tahu bagaimana melontarkan kata-kata untuk terus menusuk sukma jemaah dan bukan hanya sekadar menghabiskan tugas. Terlebih dahulu saya memohon maaf andai setiap tutur kata saya menyinggung namun demi kebaikan ummah saya beranikan diri untuk memberi pandangan supaya ianya dapat diperbaiki dan khutbah dapat dijadikan medan mengubah orang kepada manusia. Teks khutbah juga amat penting kerana ianya perlu diwacanakan mengikut sains minda dan bukan karangan biasa.
Jika ada kefahaman bagaimana untuk menafsir minda jemaah dan bagaimana untuk menerapkan terus ke dalam memori minda bawah sedar jemaah, saya yakin insya Allah lebih ramai akan terpengaruh dengan khutbah yang disampaikan bahkan ianya menjadi senjata yang ampuh dalam membentuk satu generasi Islam yang cemerlang, yang mampu menakluk dunia dengan kebijaksanaan dan bukan dengan demonstrasi jalanan. InsyaAllah saya akan mengadakan bengkel sehari khusus untuk mereka yang terlibat secara langsung dalam khutbah untuk mengupas bahasa khutbah yang difahami minda untuk penyampaian lebih efektif.
0 comments:
Post a Comment