Apa itu Initial Public Offering?
Sumber:http://www.pakdi.my/blog/apa-itu-ipo/
Khairy memulakan perniagaan gula-gula getah sebagai peniaga kecil. Modalnya hanyalah RM 500. Dia mengambil sejumlah gula-gula getah dari pembekal dan menghantarnya ke kedai-kedai runcit, kantin sekolah dan kantin pejabat. Itulah pekerjaan Khairy saban hari.
Rezeki Khairy bertambah baik. Perniagaan gula-gula getahnya semakin maju. Dia kini ingin membuat jenama gula-gula getahnya sendiri, The New Emperor’s Bubble Gum. Namun hasratnya agak terbantut kerana dia tidak mempunyai modal yang mencukupi untuk membesarkan perniagaannya. Lalu dia menyiapkan proposal perniagaannya dan cuba mendapatkan pembiayaan perniagaan.
Nasib Khairy agak malang. Semua bank menolak permohonannya. Walaupun mukanya Melayu. Kulit hitam manis. Hidung penyek. Tetapi dia tak dapat rasa sedikit pun hak untuk orang Melayu yang kununnya disediakan untuk membantu usahawan Bumiputera. Sehinggalah pada satu hari dia menyatakan hasratnya kepada bapa mertuanya, Dolah. Setelah perbincangan demi perbincangan, akhirnya bapa mertua Khairy bersetuju untuk membiayai perniagaannya sebagai pelabur persendirian.
Lega hati Khairy. Lantas dia pun menubuhkan syarikat sendirian berhad untuk mengembangkan perniagaan barunya, The New Emperor’s Bubble Gum. Rezekinya murah. Tidak dilanda tsunami. Permintaan semakin meningkat. Hypermarket tidak henti-henti meminta Khairy menghantar pelbagai jenis gula-gula getah ke tempat-tempat mereka.
Kini Khairy terfikir, sudah sampai masanya untuk berdiri setanding dengan Wrigley’s Peppermint Gum. Sekali lagi pembiayaan modal menjadi masalah. Tetapi kali ini Khairy sudah semakin bijak. Dia melantik pelbagai golongan professional untuk menguruskan proses pembiayaan seperti akauntan, peguam dan bank pelaburan. Syarikat The New Emperor’s Bubble Gum dinasihatkan untuk mendapatkan modal dari orang ramai untuk merealisasikan hasratnya.
Lalu proses penyenaraian awam ke Bursa Malaysia pun dilakukan. Khairy dan Dolah perlu menjual sebahagian pemilikan saham mereka untuk membolehkan orang ramai membeli saham-saham syarikat tersebut seterusnya membolehkan syarikat Khairy mendapat modal yang diperlukan.
Dalam proses ini, prospektus perlu diterbitkan. Orang ramai perlu tahu segala maklumat tentang syarikat tersebut. Maka mereka yang berminat untuk membeli initial public offering (IPO) ini akan membaca segala-galanya tentang syarikat berkenaan.
Setelah segalanya diluluskan mengikut prosedur yang ditetapkan, maka IPO The New Emperor’s Bubble Gum dilancarkan. Sebanyak 10,000,000 unit saham telah berjaya dijual dengan nilai RM 1 seunit. Jumlah kekayaan Khairy dan pelabur awalnya, Dolah telah melonjak berganda-ganda.
Khairy berjaya mencapai matlamat seterusnya dalam perniagaan, dan orang awam pun dapat menikmati kekayaan tersebut bersama melalui capital gain dan dividen yang ditawarkan. Everyone is happy. Smile all over the places.
Seperti yang banyak berlaku kepada syarikat lain, terdapat sebahagian pelabur yang sukakan keuntungan hit & run. Pada hari saham itu diurusniagakan sahaja, harga telah melonjak sebanyak RM 1.50 dan ramai telah menjual saham syarikat tersebut. Sebulan selepas diniagakan, harga saham syarikat The New Emperor’s Bubble Gum (TNEBG) telah jatuh menjadi RM 0.80.
Walaupun begitu, syarikat ini tetap tidak terjejas perniagaannya. Jualan gula-gula getah terus mendapat sambutan sehingga ke seluruh Asia Pasifik. Tidak ada tanda-tanda syarikat itu menghadapi masalah walaupun dalam masa sebulan sahaja, harga sahamnya telah jatuh ke paras terendah RM 0.80 dari harga tertingginya RM 2.27 minggu lepas.
Melihatkan hal ini maka bertanyalah seorang anak yang baru lulus universiti kepada ayahnya, seorang pelabur veteran di Bursa Malaysia:
Anak: Ayahanda, saya lihat syarikat TNEBG telah jatuh harga. Adakah ini bermaksud syarikat itu bermasalah?
Ayah: Anakada, tidak. Fundamental syarikat itu masih kukuh. Apa yang berlaku adalah hanyalah spekulasi dan short term trader yang mengambil keuntungan singkat.
Anak: Maksudnya, perniagaan TNEBG masih baik?
Ayah: Betul anakanda. Sesebuah syarikat akan mendapat manfaat langsung dari penjualan sahamnya adalah pada hari pelancaran penyenaraian awamnya (IPO) sahaja anakanda. Selepas itu, harga saham itu hanyalah sebahagian daripada petunjuk kesihatan syarikat tersebut.
Anak: Saya kurang mengerti ayahanda.
Ayah: Konsepnya sama sahaja seperti anakanda yang baru sahaja membeli Saga BLM minggu lalu. Proton hanya mendapat duit dari anakanda sekali sahaja, iaitu semasa andakanda membelinya secara 1st hand. Selepas itu kalau anakanda menjualnya kepada orang lain, 2nd hand, maka syarikat Proton tidak akan memperoleh satu sen keuntungan pun. Ada beribu-ribu kereta Saga BLM. Jual beli kereta 2nd hand Saga BLM tidak akan memberi manfaat pun kepada Proton.
Anak: Maksudnya, TNEBG hanya dapat keuntungan dari IPO waktu saya membelinya tempoh hari, dan selepas saya menjualnya, saya lah yang akan mendapat keuntungan dari penjualan tersebut bukan? Dan unit-unit saham tersebut akan terus diniagakan dari masa ke masa di bursa macam pasaran kereta 2nd hand jugalah?
Ayah: Pandai anakanda Amirul.
0 comments:
Post a Comment